↑ Atas
Warga DOSM
Responden
Awam
Selasa, 21 Mei 2024|
Sektor Pembinaan mencatatkan nilai output kasar sebanyak RM204.4 bilion pada tahun 2017
Nilai output kasar subsektor kejuruteraan awam adalah RM63.7 bilion pada 2017
Pada 2017 seramai 1,330,266 pekerja terlibat dalam sektor pembinaan

Banci Ekonomi 2016 - Pembinaan

Tarikh Siaran : Isnin 10, Julai 2017 1200

 

KADAR PERTUMBUHAN TAHUNAN DIKOMPAUN OUTPUT KASAR SEKTOR PEMBINAAN MENINGKAT 14.3 PERATUS KEPADA RM177.9 BILION PADA 2015 BERBANDING RM91.3 BILION PADA 2010

PRESTASI SEKTOR PEMBINAAN

Laporan ini mengandungi statistik Banci Ekonomi Sektor Pembinaan yang dijalankan pada tahun 2016 bagi tahun rujukan 2015. Sejumlah 40,558 pertubuhan terlibat dalam banci ini dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 12.9 peratus berbanding 22,140 pertubuhan pada tahun 2010.

Prestasi keseluruhan sektor pembinaan pada tahun 2015 merekodkan pertumbuhan positif bagi semua indikator utama. Output kasar pada tahun 2015 adalah RM177.9 bilion, peningkatan sebanyak RM86.6 bilion berbanding tahun 2010 dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun sebanyak 14.3 peratus. Selaras dengan pertumbuhan pesat output kasar, nilai input perantaraan turut meningkat sebanyak RM55.4 bilion untuk mencatatkan RM114.8 bilion dengan purata pertumbuhan tahunan 14.1 peratus, ini menghasilkan nilai ditambah sebanyak RM63.2 bilion pada tahun 2015. Bilangan pekerja dalam sektor pembinaan pada 2015 berjumlah 1,290,474 orang berbanding dengan 974,488 orang pada 2010 dengan purata pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus. Sejajar dengan pertambahan bilangan pekerja, jumlah gaji & upah yang dibayar juga menunjukkan peningkatan dengan mencatatkan RM32.9 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun sebanyak 10.6 peratus. Nilai harta tetap pula terus meningkat kukuh dengan mencatatkan RM25.1 bilion (2010: RM14.5 bilion) peningkatan sebanyak 11.6 peratus.

PRESTASI SUBSEKTOR PEMBINAAN

Pada tahun 2015, subsektor kejuruteraan awam merupakan penyumbang utama kepada output kasar sektor pembinaan dengan sumbangan 27.0 peratus (RM48.1 bilion) berbanding 27.2 peratus (RM24.9 bilion) pada tahun 2010. Ini diikuti dengan pembinaan bangunan bukan kediaman yang mencatatkan output kasar RM46.1 bilion berbanding RM27.0 bilion pada tahun 2010.

PRESTASI PERTUBUHAN MILIKAN WANITA

Pertubuhan milikan wanita dalam sektor pembinaan berjumlah 2,622 pertubuhan dengan sumbangan 6.5 peratus dan menjana output kasar sebanyak RM6.8 bilion atau 3.8 peratus sumbangan daripada keseluruhan sektor pada tahun 2015. Kategori ini mencatatkan nilai input perantaraan RM4.4 bilion (3.8% sumbangan), menghasilkan nilai ditambah sebanyak RM2.5 bilion (3.9% sumbangan). Sebanyak 56,822 orang (4.4% sumbangan) daripada jumlah pekerja (1,290,474 orang) adalah yang bekerja di bawah kategori ini, dengan gaji & upah dibayar sebanyak RM1.3 bilion (4.0% sumbangan). Sementara itu, nilai harta tetap yang terkumpul oleh kategori ini ialah RM0.9 bilion (3.4% sumbangan) berbanding dengan jumlah harta tetap (RM25.1 bilion) yang dicatatkan dalam tempoh banci 2015.

Dikeluarkan Oleh:

PEJABAT KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
10 Julai 2017 

Pegawai dihubungi:

Ho Mei Kei
Pegawai Perhubungan Awam
Bahagian Korporat & Khidmat Pengguna
Jabatan Perangkaan Malaysia
Tel : +603-8885 7942
Faks : +603-8888 9248
Emel : mkho[at]stats.gov.my